KIEV – Ukraine mendakwa bahawa tentera Rusia akan kehabisan bekalan makanan, bahan api dan peluru dalam masa tiga hari, sekali gus menjadikan perang mungkin berakhir dalam beberapa minggu akan datang, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Kementerian Pertahanan Ukraine berkata, kemaraan tentera Rusia terhenti semalaman kerana menghadapi masalah bekalan yang semakin meningkat serta tentangan hebat daripada askar Ukraine.
Tambah kementerian itu, tentera Ukaraine telah melakukan beberapa siri serangan dahsyat ke atas askar Vladimir Putin dalam pertempuran dan memintas serangan udara dalam masa 24 jam.
“Menurut maklumat yang diterima, tentera Rusia yang beroperasi di wilayah Ukraine mempunyai bekalan peluru dan makanan untuk digunakan dalam masa tidak lebih dari tiga hari.
“Situasinya sama dengan bahan api yang perlu diisi semula di dalam tangki trak. Pembekal tidak dapat mengatur saluran paip untuk memenuhi keperluan tentera mereka,” kata pegawai persikan dalam satu kenyataan.
Putin yang menjangkakan kemenangan pantas apabila mengarahkan pencerobohan pada 23 Februari lalu menghadapi tentangan sengit daripada Ukraine.
Kiev mendakwa telah membunuh kira-kira 15,000 tentera Putin dan memusnahkan sejumlah besar peralatan perang. Dalam masa sama, Rusia pula mengaku kehilangan 10,000 tentera sepanjang pencerobohan itu.
Penasihat Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych berkata, serangan aktif kedua-dua belah pihak mungkin berakhir hanya dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja. – AGENSI