KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura bagi merakam keterangan beberapa saksi kes suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang didakwa menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara terbabit pada 29 hingga 31 Mac ini.
“Setakat ini terdapat beberapa saksi sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkenaan kes terbabit.
“Siasatan di negara berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan dan juga dokumen yang diperlukan. Insya-Allah dengan dapatnya keterangan dan dokumen kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita ada saksi-saksi di sana membabitkan perbankan, jadi saksi dari pihak bank itu bersetuju untuk memberi kerjasama,” ujarnya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa saksi tambahan akan dipanggil namun ia bergantung kepada keadaan.
Terdahulu, Tawfiq yang juga suami kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mendakwa tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.
Beliau menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.
Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq. – KOSMO! ONLINE