fbpx

Vida kalahkan Snoop Dogg, JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBURUK-BURUK penampilan Vida sebagaimana dikecam ramai, MV Ku Ikhlaskan jutawan kosmetik itu ternyata lebih laku berbanding MV melibatkan rapper Hollywood, Snoop Dogg.

PETALING JAYA – Biarpun muzik video (MV) single terbaharunya, Ku Ikhlaskan dikecam ramai, usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida mampu menarik nafas lega apabila jumlah tontonan MV berkenaan melangkaui pencapaian lagu tema kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menampilkan legenda rap dunia, Snoop Dogg.

Setakat ini, MV Ku Ikhlaskan sudah ditonton lebih 1.5 juta orang selepas hanya dua hari ditayangkan sementara Pioneers nyanyian Snoop dan Joe Flizzow sekadar mencatatkan kurang 500,000 tontonan dalam laman perkongsian video, YouTube.

“Saya tak mahulah membanding-bandingkan. Tapi, alhamdulillah untuk rezeki ini. Orang kutuk, kecam dan tabur kata nista, saya tetap akan berikan apa yang termampu untuk industri seni tanah air.

“Dalam ramai yang mengecam, ramai juga yang memuji MV Ku Ikhlaskan. Mereka cakap kualiti MV bertaraf antarabangsa.

“Saya tak harap banyak cuma semoga orang nampak emosi, jiwa yang ikhlas dalam lagu Ku Ikhlaskan. Orang nak kutuk dan kecam, terpulang kepada mereka. Dengan tontonan di YouTube yang tinggi, saya percaya mesej yang cuba semaikan, sampai di hati peminat,” katanya kepada Kosmo! Online.

MV Ku Ikhlaskan yang merupakan idea asal Vida, 51, dan merupakan arahan Kel Wen menelan belanja sebanyak RM400,000 dan menyaksikan penampilan mogul berubah 360 darjah dengan suntikan elemen futuristik dan eksentrik.

Lagu berkenaan ditulis Amy Ukays dan Vida, manakala lirik dihasilkan Vida sendiri.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman memaklumkan bahawa Ku Ikhlaskan disifatkannya sebagai saham akhirat. Katanya, pembikinan lagu dan MV adalah usahanya mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak miliknya.

“Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya dalam menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut bulan Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pioneers yang dilancarkan lima hari lalu di Johor Bahru disempurnakan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI