KUALA LUMPUR – Suspek yang terlibat dalam kes bunuh dalam bilik bengkel kemahiran hidup, sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras dua minggu lalu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.
Lelaki yang berusia 30-an itu tiba di mahkamah pada pukul 10.30 pagi untuk dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana prosiding itu akan berlangsung di Mahkamah Majistret.
Kosmo! Online pada 14 Mac lalu, melaporkan suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat dalam keadaan rentung disyaki dibunuh di dalam bilik bengkel kemahiran hidup, sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras ditahan reman.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bagi membantu siasatan.
Polis berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 25 tahun bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah terbabit sejak Februari lalu.
Mangsa dipercayai tidak mempunyai sebarang hubungan dengan suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE