IPOH.- Kerajaan negeri sedia membantu menghidupkan semula Bandar Agacia di Kampar yang terkenal dengan struktur bangunan unik dan ceria hingga digelar ‘Disneyland Malaysia’.
Lokasi tersebut yang popular dalam kalangan penggemar fotografi namun kini suram tanpa kehadiran pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa perancangan sedang dirangka untuk dilaksanakan termasuk seni jalanan (street art) dan pasar jalanan (street market).
Katanya, perbincangan akan dijalankan bersama Majlis Daerah Kampar (MDKpr) bagi merealisasikan usaha menarik semula pengunjung.
“Bandar Agacia sebenarnya adalah di luar kawalan kami (kerajaan negeri) kerana ia merupakan projek swasta. Ketika pandemik, pembangunan di kawasan berkenaan agak perlahan.
“Saya juga telah melawat dan bertemu pemaju untuk lihat apa perancangan mereka dan apa yang kerajaan negeri boleh bantu,” katanya pada sidang akhbar program Jelajah Integriti Pelancongan JIPS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2.0 di pejabat SPRM Meru Raya di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Mengulas lanjut beliau berkata, kekurangan penggiat dan peserta di kawasan itu dipercayai menjadi punca keadaan suram di lokasi tarikan pelancongan tersebut.
Terdahulu tular di media sosial berkaitan kegusaran warga maya mengenai keadaan Bandar Agacia yang kini sepi dan suram tanpa kehadiran pengunjung.
Rata-rata mereka meluahkan rasa terkilan apabila melihat banyak premis ditutup dengan keadaan bangunan tidak diselenggara selain warnanya yang kelihatan luntur. – KOSMO! ONLINE