JOHOR BAHRU – Polis selesai mengambil keterangan 10 individu yang terlibat dalam konvoi kenderaan mewah yang menghalang laluan di Kilometer 34, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, Kulai pada 18 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua individu terbabit dipanggil hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bermula pukul 4 petang semalam.
“Ya, kita sudah selesai mengambil keterangan 10 individu terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan yang kita jalankan.
“Mereka kemudiannya diberi jaminan polis sejurus selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Kes masih lagi dalam siasatan,”katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 individu yang terlibat dalam konvoi kenderaan mewah termasuk Lamborghini dengan menghalang laluan di lebuh raya berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku disebabkan wanita yang memandu trak pikap jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku pelanggaran.
Tambah beliau, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika dihalang di lokasi berkenaan pada pukul 6.10 petang.
Pemandu trak pikap tersebut bagaimanapun direman ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada pukul 1 pagi, Isnin lalu.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah Lamborghini berhampiran susur keluar Sedenak.
Pemandu Ford Ranger dipercayai cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah supercar tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.
Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.-KOSMO! ONLINE