Oleh Fadzillah Aishah Ismail
SEDAR tidak sedar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyambut jubli emasnya tahun ini.
Bagi penulis sendiri, selaku alumni FKPM atau lebih dikenali sebagai Masscomm, bermula dari matrikulasi, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana sudah pasti banyak menghimpun koleksi nostalgia pahit manis tersendiri.
Lantaran itu, sudah pasti fakulti berusia 50 tahun ini dekat di hati.
Alhamdulillah, tanggal 1 Mac 2021, penulis kembali semula ke fakulti keramat itu, bukan sebagai penuntut, tetapi melangkahkan kaki sebagai pendidik bagi menyahut seruan UiTM supaya alumni kembali menyumbang kepada universiti, FKPM Khususnya.
Bukan tidak sayang dengan kerjaya terdahulu, namun sudah sampai masanya segala pengalaman diperoleh dalam industri dikongsi bersama pelajar.
Sedikit sejarah mengenai FKPM yang dahulunya dikenali sebagai Kajian Sebaran Am yang menjadi perintis kepada pendidikan komunikasi dan media sejak 1972.
FKPM menawarkan lima program peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Kewartawanan, Penyiaran, Penerbitan, Pengiklanan dan Perhubungan Awam.
Seiring dengan peredaran masa, FKPM menambah empat program baharu iaitu Komunikasi Instruksional dan Latihan, Komunikasi Interpersonal, Pengurusan Komunikasi dan Polisi serta Komunikasi Media Baharu.
FKPM turut menawarkan dua program Diploma iaitu Diploma Komunikasi dan Media serta Komunikasi Media Baharu, selain program peringkat Sarjana iaitu Sarjana Komunikasi Massa, Media dan Perang Saraf serta Kewartawanan.
Selain itu, program peringkat Doktor Falsafah turut diperkenalkan iaitu Ijazah Doktor Falsafah Komunikasi Massa serta Media dan Perang Saraf.
Graduan FKPM pula berada di mana-mana dalam industri media negara.
Penulis berani katakan, sebutlah mana-mana organisasi, pasti ada alumni FKPM di sana, malah organisasi media juga majoritinya dipelopori graduan bidang itu.
Bukan mendabik dada riak, hakikatnya itulah resume kejayaan fakulti keramat itu menghasilkan lebih 20,000 graduan sehingga kini.
Terkini, seiring dengan perkembangan teknologi, FKPM mencipta satu lagi sejarah dalam penggabungan ilmu dengan fakulti lain.
Ia bertujuan memberi nilai tambah kepada fungsi FKPM, sekali gus mampu menghasilkan graduan yang multi-tasking, kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi serta mesra industri.
Secara tidak langsung, penggabungan ilmu ini menyahut seruan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk TS Dr. Roziah Mohd Janor yang ingin melihat masa depan UiTM memfokuskan kepada teknologi blockchain dan big data analytics.
Buat semua alumni FKPM usahlah bimbang dan khuatir, datanglah apa sahaja perubahan, DNA Masscomm tetap tersemat kukuh di hati setiap warga, pelajar dan alumninya.
Selamat menyambut ulang tahun ke-50 buat fakulti yang memberi banyak memori kepada mereka yang terlibat.
——————————————————————————————————————————————-
Fadzillah Aishah Ismail ialah Pensyarah Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam.