KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga penyelia kedai buku di sebuah sekolah dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhamad Yusri Latiff, 35, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Yusri didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Fong Hsu Kei ,25, di sebuah bilik bengkel Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Jalan Budiman 19, Taman Mulia, Cheras di sini antara pukul 1.45 tengah hari hingga 5.30 petang pada 12 Mac lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Phulrani Kaur manakala tertuduh berbaju kuning tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Kosmo! Online pada 14 Mac lalu, melaporkan suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat dalam keadaan rentung disyaki dibunuh di dalam bilik bengkel, sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras akan direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bagi membantu siasatan.
Polis berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 25 tahun bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah terbabit sejak Februari lalu
dan mangsa dipercayai tidak mempunyai sebarang hubungan dengan suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.
Terdahulu, pada 12 Mac lalu, mayat seorang wanita yang disyaki dibunuh ditemui dalam keadaan rentung di dalam bilik bengkel sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.
Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek yang berusia 30-an kira-kira pukul 6 petang di lokasi kebakaran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE