PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu tidak bertanggungjawab yang cuba mengundurkan keretanya di tengah kesesakan lebuh raya mengundang kecaman orang ramai.
Perkongsian satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 16 saat oleh Sean Lim memaparkan pemandu sebuah kereta jenis Honda Accord cuba mengundurkan keretanya setelah terlepas simpang di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) semalam.
“Jika anda terlepas simpang, tolong pandu sahaja.
“Jangan ‘reverse’ di tengah jalan terutamanya lebuh raya, disebabkan pemanduan tidak bertanggungjawab anda, anda membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” tulisnya di Facebook.
Rata-rata orang ramai mengutuk tindakan yang dilakukan oleh pemandu Honda itu.
“‘Reverse cari otak tertinggal di belakang,” tulis Muhammad Ilham.
“Tindakan pentingkan diri seperti ini sepatutnya lesen pemandu itu digantung selama-lamanya,” kata Ong Chee Boon.
Sementara itu, Shaffiq Zainuddin memberitahu dia juga turut mengalami peristiwa yang sama sebelum ini.
“Inilah perangai orang Malaysia, terlajak simpang sanggup undur daripada pergi exit satu lagi masuk atau pusingan U.
“Kenapa tiada lori di belakang bagi sapu bersih sahaja terus. Hendak mudahkan dan jimat petrol beberapa ringgit sahaja kalau kemalangan mampus lagi bagus, daripada hidup menyusahkan orang lain sebab pernah jumpa dan terkena,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE