KIEV – Lambakan pelarian dari Ukraine yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan beberapa negara jiran yang setakat ini masih membuka pintu sempadan kepada golongan itu, lapor akhbar Metro UK, semalam.
Pegawai di negara-negara yang menerima sebahagian besar pelarian Ukraine telah memberi amaran bahawa kapasiti pengambilan pelarian sudah hampir penuh dengan anggaran 3.6 juta orang kini telah meninggalkan negara itu setakat ini.
Kebanyakan pelarian Ukraine kini berada di kem-kem negara jiran seperti Poland, Slovakia, Romania dan Hungary manakala sejumlah besar lain tinggal di negara berdekatan seperti Republik Czech dengan harapan yang semakin tipis untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Bilangan rakyat Ukraine yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka didedahkan telah melonjak melebihi 10 juta pada Selasa.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan 6.5 juta telah melarikan diri dari beberapa bandar di Ukraine.
Jurucakap UNHCR, Matthew Saltmarsh berkata, peningkatan jumlah pelarian yang mendadak dalam tempoh kurang sebulan adalah situasi yang membimbangkan.
“Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia mewujudkan kebimbangan bahawa akan tiba masa apabila kehadiran pelarian Ukraine tidak mampu ditampung oleh negara-negara jiran mereka,” kata Saltmarsh.
Menteri Dalam Negeri Republik Czech, Vít Rakušan yang telah menerima 270,000 pelarian, berkata, negaranya kini semakin sukar mengimbangi jumlah pelarian dengan penyediaan tempat tinggal yang selesa.
“Kami tidak mahu menerima pelarian hanya untuk membiarkan mereka tidur di khemah sementara atau menumpang di gimnasium,” ujarnya.
Kerajaan Czech kini cuba memindahkan warga Ukraine dari Prague yang merupakan lokasi penempatan pelarian utama ke bandar lain.
Pegawai di Poland yang telah menerima sebahagian besar pelarian berjumlah lebih 2.1 juta, kini menyeru kerajaan mereka untuk membina kemudahan khusus untuk membantu menangani kemasukan itu.
“Kami tidak pernah tahu berapa ramai pelarian akan tiba dari hari ke hari.
“Kami telah melakukan segala yang kami mampu dan langkah seterusnya terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakan sistem dan membina bandar pelarian,” kata pegawai berkenaan. – Agensi