fbpx

Kurang peruntukan punca belanjawan DBKL alami defisit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menara DBKL.

KUALA LUMPUR – Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengalami defisit selama tiga tahun iaitu 2019, 2021 dan 2022 kerana tekanan kewangan termasuk kekurangan peruntukan dari kerajaan persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, DBKL juga telah memberi beberapa insentif kepada warga kota yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 demi kesejahteraan warga kota walaupun pemberian insentif tersebut telah mengurangkan hasil DBKL.

“Antara insentif yang diberikan adalah pemberian insentif kepada peniaga dan penjaja, insentif kepada penduduk PPR/PA DBKL, bantuan kepada gelandangan, bantuan elaun kepada petugas barisan hadapan serta pembatalan denda lewat cukai taksiran kepada pemilik premis.

“Sumber pendapatan utama DBKL adalah hasil taksiran dan dijangkakan apabila ekonomi bertambah baik, pendapatan melalui cukai taksiran dan caj pembangunan akan turut meningkat,” ujarnya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd. Hisamudi Yahaya yang ingin tahu langkah-langkah yang telah dan akan diambil bagi menangani isu belanjawan defisit DBKL kerana dari tahun 2018 dengan anggaran hampir RM2 billion telah ditanggung oleh rizab DBKL hingga sekarang.

Jelas Shahidan lagi, ketika ini sumber pendapatan melalui pembayaran sewa hampir mencecah RM100 juta. Dengan pembinaan perumahan Council Home akan meningkatkan lagi pendapatan sewa.

DBKL juga katanya mendapatkan peruntukan yang besar daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan mengurus dan pembangunan.

“Sebagai contoh, Kerajaan pusat pernah memberikan peruntukan mengurus B32 yang tinggi pada 2014 berjumlah RM130 juta dan semakin berkurangan setiap tahun dimana tiada peruntukan diterima pada 2019 dan hanya menerima RM2juta pada tahun 2021.

“Pada masa ini, DBKL terpaksa menggunakan rizab untuk menampung kekurangan peruntukan yang diterima oleh kerana tekanan ekonomi dan juga sumbangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, DBKL sentiasa melaksanakan perbelanjaan berhemah dan ‘value for money’ dengan meneruskan projek-projek yang mengutamakan kesejahteraan warga kota.

“Usaha-usaha untuk meningkatkan kutipan hasil terus dilaksanakan bagi menangani belanjawan defisit di masa akan datang,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI