PETALING JAYA – Para peminat Justin Bieber tidak sabar bertemu bintang antarabangsa itu yang bakal mengadakan konsert di Malaysia Oktober depan.
Dalam gelanggang Twitter, Bieber, 28, membuatkan netizen tidak senang duduk selepas mengumumkan konsert jelajah, Justice World Tour yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bieber sekali gus menjadi artis antarabangsa pertama yang akan mengadakan konsert berskala besar di Malaysia selepas negara tersepit dengan permasalahan Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Dah dua tahun saya tak tweet begini tetapi ayuh semua orang Malaysia, perhatian untuk para peminat Justin Bieber,” ciap seorang netizen.
Disebabkan Bieber kini akhirnya mengadakan konsert di Malaysia, ramai yang mula memasang angan-angan agar penganjur konsert membawa BTS pula selepas ini buat kali pertama.
“Dengar sini semua, Justin Bieber bernaung bawah label HYBE. Label berkenaan kini dah nampak Malaysia sebagai perhentian berpotensi konsert jelajah. Konsert BTS pula tak lama lagi.
“Saya akan mula mengumpul wang bermula sekarang. Tak sabar tunggu konsert BTS di Malaysia pula. Jom jual buah pinggang,” demikian antara ciapan netizen dalam Twitter.
Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa bermula 1 April ini, penganjur konsert berkenaan, PR Worldwide Sdn Bhd teruja untuk kembali mengumpulkan orang ramai dalam suasana konsert berskala besar namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya meskipun Covid-19 masih belum berpenghujung.
“Satu perasaan yang sukar digambarkan kerana akhirnya, selepas dua tahun tergendala, kami dapat mengumumkan berita gembira ini pada hari ini.
“Kami berasa sangat berbangga untuk membawakan konsert yang ditunggu-tunggu ramai, Justice World Tour untuk para peminat Bieber di Malaysia Oktober depan,” kata pengarah urusan syarikat berkenaan, Para R.
Dalam pada itu, Bieber atau nama sebenarnya, Justin Drew Bieber menerusi satu kenyataan akhbar teruja untuk mengadakan konsert jelajahnya.
“Kami sudah lama bekerja keras untuk membawakan persembahan yang paling terbaik yang pernah dipentaskan dan kami tak sabar ingin berkongsi perincian lanjut dengan para peminat seluruh duni. Jumpa anda semua tidak lama lagi,” katanya.
Sepatutnya, konsert Justice World Tour bermula pada 14 Mei 2020 namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali disebabkan pandemik Covid-19 dan akhirnya mengadakan persembahan jelajah pertama di San Diego, California, Amerika Syarikat, 18 Februari lalu.
Bagaimanapun, konsert jelajah berkenan berdepan masalah apabila pelantun lagu Sorry itu terpaksa membatalkan persembahan keduanya di Las Vegas pada 20 Februari selepas dan beberapa kru teknikalnya disahkan positif Covid-19.
Buat masa sekarang, konsert tersebut sedang menggembara kawasan Amerika Utara sebelum bergerak ke kawasan lain di dunia termasuk kontinen Asia bermula Ogos.
Kali terakhir Bieber membuat persembahan di Malaysia adalah 10 tahun lalu ketika menjadi artis jemputan acara hiburan, MTV World Stage Live.
Tiket konsert Justin Bieber, Justice World Tour dianggarkan berharga sekitar RM288 hingga RM1,088 akan mula dijual di https://www.golive-asia.com pada pada 31 Mac ini. – KOSMO! ONLINE