Oleh AZIZAH SHAFIEI
KUANTAN – “Kalau mati, Hafdan hendak masuk syurga.”
Itu antara kata-kata yang diungkapkan Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, yang meninggal dunia selepas dibelasah rakan senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di daerah ini pada Ahad lalu.
Ibu saudaranya, Faridah Latif, 49, berkata, anak saudaranya berkata demikian ketika pulang ke kampung pada Januari lalu dan sehingga kini kata-kata tersebut masih terngiang-ngiang dalam ingtannya.
“Arwah seorang anak yang mendengar kata dan terlalu baik dengan semua orang, malah dia tidak pernah berkira dengan rakan-rakannya sehingga menghalalkan hutang mereka.
“Jadi saya berasa terkilan dengan kejadian yang berlaku jika hanya kerana RM4 arwah diperlakukan sedemikian,” katanya ketika ditemui di Kampung Gelugur di sini semalam.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/03/LEAD-16-1024x681.jpg)
Menurut Faridah, anak sulung daripada tiga beradik itu menjadi harapan dalam keluarganya dan kehilangan arwah begitu dirasai oleh semua orang terutama ibu bapanya.
Faridah memberitahu, arwah turut berjanji kepada adiknya untuk menyiapkan ‘rumah pokok’ berhampiran rumah mereka supaya dapat bermain bersama-sama setiap kali dia pulang ke kampung.
“Pada usia 11 tahun, arwah sudah memikul tanggungjawab menjaga adik-adiknya dan tidak pernah mengabaikan mereka jika ibu dan bapanya tiada di rumah.
“Walaupun ibu saudara, hubungan kami rapat dan arwah panggil saya dengan panggilan mama,” katanya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/03/image_6487327-1024x681.jpg)
Sementara itu, bapa mangsa, Qurbani Azhar Rahimi, 40, memberitahu, dia reda dengan kejadian yang menimpa arwah anaknya.
“Saya bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan menyerahkan siasatan kes kepada pihak polis.
“Memang saya terasa dengan kehilangan arwah kerana dia seorang anak yang baik, mendengar kata dan bertanggungjawab.
“Kepada pihak kompleks dan rakan-rakan arwah, saya mohon maaf sekiranya anak saya ada melakukan kesilapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Kampung Gelugur semalam.
Jenazah Muhammad Hafdan dikebumikan pada pukul 3.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur.
Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Hafdan meninggal dunia selepas dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri hanya kerana wang RM4.
Susulan kejadian itu, polis menahan pelajar berusia 16 tahun dan remaja itu direman selama tujuh hari. -KOSMO! ONLINE