KUALA LUMPUR – Gara-gara menjual Android TVBox yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dua tahun lalu, seorang peniaga didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Khor Ooi Heong, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
Sekiranya OKS gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ooi Heong yang berniaga atas nama Wellbao Trading telah ada dalam milikkannya dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu tiga unit Android TVBox Jenama Tian Mau.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Loke Yew di sini pukul 11.40 pagi pada 9 Julai 2020 yang mana kesalahan tersebut didakwa bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Ooi Heong yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah dengan alasan mempunyai tanggungan dua anak dan isterinya juga tidak bekerja.
“Anak pertama saya mempunyai penyakit kanser, sepanjang siasatan dijalankan saya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” kata OKS.
Ketika prosiding pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa daripada SKMM Malaysia Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran terhadap OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE