SEBAHAGIAN fosil ikan paus purba yang dianggarkan mendiami lautan 36 juta tahun lalu telah ditemui oleh sekumpulan ahli paleontologi di kawasan gurun di Peru.
Ahli paleontologi, Mario Urbina menjelaskan, fosil yang ditemui itu terdiri daripada set lengkap tengkorak basilosaurus yang hidup 36 juta tahun lalu.
Menurutnya, fosil paus tersebut ditemui pada penghujung tahun lalu di Gurun Ocucaje yang terletak kira-kira 350 kilometer ke selatan Lima.
“Kawasan gurun tersebut merupakan lautan cetek yang terbentuk jutaan tahun lalu.
“Fosil yang digelar Ocucaje Predator itu mempunyai panjang berukuran 17 meter dan dipercayai menjadikan tuna, jerung dan sardin sebagai makanan utamanya,” jelasnya.
Tambahnya, penemun tersebut amat penting kerana setakat ini, tiada spesimen serupa dengannya yang ditemui di tempat lain di dunia ini.
Selain itu, Urbina dan ahli pasukannya menyatakan bahawa, fosil tersebut berbeza dengan spesies paus purba yang pernah ditemui sebelum ini berdasarkan saiz, gigi dan rantaian makanannya.