MESKIPUN kurang dari dua minggu negara bakal memasuki fasa endemik pada 1 April ini, namun ekonomi dalam negara boleh dikatakan masih tidak stabil sepenuhnya.
Terdapat sesetengah industri yang belum bersedia untuk bangun semula akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun 2020.
Disebabkan situasi tersebut, rakyat memerlukan banyak bantuan dari segi kewangan untuk menampung kehidupan terutamanya melibatkan jumlah pendapatan bulanan yang lebih tinggi dan golongan pekerja semakin menuntut dalam mendapatkan kadar bayaran gaji yang lebih efisien.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpandangan bahawa ketika ini, peningkatan tangga gaji kepada RM1,500 bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan penetapan jumlah minimum itu.
Kata beliau, berdasarkan laporan di Parlimen pada tahun 2020 dan 2021, sebanyak 37,000 syarikat terpaksa gulung tikar akibat penularan wabak Covid-19.
Ujarnya, hal itu menyebabkan kira-kira 107,000 dan 61,000 pekerja telah diberhentikan kerja masing-masing pada tahun 2020 dan 2021, manakala kira-kira 6,000 pekerja hilang pekerjaan setakat Januari 2022.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu, mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini.
Melihat kepada situasi semasa, masih ramai majikan yang bimbang sekiranya mereka perlu menaikkan gaji pekerja mengikut ketetapan yang dikeluarkan kerajaan sedangkan mereka masih perlu menstabilkan perniagaan yang dijalankan.
Mengulas lanjut, Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh turut mempersoalkan adakah perlu kadar gaji minimum ini dinaikkan sekarang ketika peralihan dari fasa pandemik ke endemik.
“Bukankah lebih baik diberikan peluang agar fasa endemik ini kita lihat bagaimana prestasi perniagaan secara holistik untuk sekurang-kurangnya setahun dan baru kerajaan perkenalkan peruntukan gaji minimum yang baharu ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya lagi, sekiranya pelaksanaan tersebut kekal diteruskan, kerajaan perlu memberi insentif kepada majikan khususnya kepada mereka yang sedang dalam proses membangunkan semula syarikat mahupun perniagaan yang tertutup sebelum ini.
Noorizzuddin turut menasihatkan agar setiap pekerja yang menerima kelebihan kenaikan tangga gaji ini perlu mengekalkan gaya hidup yang sedia ada seperti perbelanjaan secara berjimat mengikut keperluan dan bukannya kehendak.
“Untuk merasakan impak signifikan terhadap kenaikan gaji daripada RM1,200 kepada RM1,500 ini, pekerja perlu mengekalkan gaya hidup yang lama dan ini bermakna perbezaan RM300 tersebut akan dapat dirasakan.
“Namun jika gaji berubah serta gaya hidup berubah, maka impak tersebut tidak dapat dirasakan malah akan menjadi sama atau lebih buruk dari keadaan asal,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE