fbpx

Debut romantis Eyka, Jaa Suzuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Eyka, walaupun kali pertama berlakon bersama, namun dia mengagumi cara kerja Jaa Suzuran yang mudah mencipta keserasian.

BERMULA 24 Mac ini, saluran Astro First membawa penonton terbang menikmati keindahan negara Wales dan diiringi mood romantis sepanjang menonton sebuah filem romantik komedi terbaharu terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. berjudul Autumn In Wales.

Filem arahan sutradara Rahila Ali dan skrip sentuhan Amirul Haswendy tersebut padat dengan sinematografi menarik di sekitar Wales demi menambahkan mood melancong kepada penonton.

Menariknya, naskhah tersebut menampilkan gandingan sulung antara dua bintang utamanya iaitu Eyka Farhana dan bekas penyampai radio Era FM, Jaa Suzuran.

Selain Eyka dan Jaa, Autumn In Wales turut dibintangi aktor Keith Foo, Wanna Ali, Amyza Adnan, Joey Daud, Sissy Iman, Fara Mendoza, Wanns Ahmad dan Amirul Haswendy.

Lakonan memberi

Karya tersebut menyaksikan Jaa atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ahmad tampil sebagai pelakon buat pertama kali dengan memegang watak seorang pelayan dan tukang cuci pinggan di sebuah restoran di Wales bernama Jaka.

Dia mengambil keputusan menetap di sana selepas kecewa ditipu oleh kekasihnya sebelum bertemu dengan Aira (Eyka) yang sanggup terbang ke Wales demi membuat kejutan kepada tunangnya, Darwish (Keith).

Sebagai pengarah, Rahila sememangnya gemar mencari wajah baharu ketika berkarya. Selepas perbincangan bersama produksi, nama Jaa terpilih membawakan watak Jaka.

“Dalam proses mencari watak Jaka, saya dan produksi berasakan Jaa sesuai dengan watak ini.

“Lagi pun saya suka cuba orang baharu untuk filem arahan saya. Jadi dalam filem Autumn In Wales ini, kami ketengahkan wajah baharu sebagai pelakon utama.

“Sebagai orang baharu, saya boleh bentuk dia dengan mudah mengikut acuan watak Jaka.

“Meskipun kali pertama berlakon filem, Jaa sangat mudah menerima tunjuk ajar dan dia cepat belajar,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem tersebut baru-baru ini.

Sementara itu kata penerbitnya, Datuk Normashayu Puteh atau dikenali sebagai Ayu Puteh, penggambaran filem Autumn In Wales dilakukan pada 2018 sebaik selesai penggambaran naskhah Ada Apa Dengan Dosa (AADD).

“Kami lakukan penggambaran pada penghujung 2018. Siap sahaja AADD, kami terus buat Autumn In Wales memandang ketika itu produksi masih berada di United Kingdom(UK).

“Buat skrip semua di UK. Walaupun memang perancangan nak buat filem romantik komedi ini tapi tak jangka juga secepat itu kami siapkannya,” katanya.

Tambah Ayu, pihaknya memilih menerbitkan sebuah karya komedi sesuai dengan situasi semasa, ketika rata-rata orang berdepan masih berdepan tekanan akibat pandemik.

“Jadi saya fikir, masa sekarang sangat sesuai tayang sebab ramai orang ada kemurungan ditambah pandemik dan ekonomi serba mencabar.

“Jadi kita buat sesuatu yang seronok dan dapat berikan hiburan serta gelak tawa kepada penonton,” ujarnya lagi.

Bagi Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula, ini merupakan usaha sama kali kedua Astro First dengan Pencil Pictures selepas menayangkan filem AADD pada 2020.

“Selepas menerima sambutan memberangsangkan daripada penonton menerusi filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, Hantu Mok Joh dan Hantu Kuat Ketawa, kali ini kami membawakan genre romantik komedi buat penggemar filem tempatan,” ujarnya.

Autumn In Wales boleh dilanggan menerusi siaran Astro First saluran 480 atau strim melalui Astro Go dan On Demand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI