fbpx

Bekas pengarah syarikat didakwa pecah amanah RM584,955

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pin Eng, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM500,000. - Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Seorang bekas pengarah syarikat logistik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 65 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM500,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yap Pin Eng, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah dua syarikat logistik iaitu CM Express Sdn. Bhd. dan Cell City Delivery (M) Sdn. Bhd. yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana syarikat didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah keseluruhan berjumlah RM584,955.92.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Rasah, Seremban pada 5 Julai 2019 hingga 2 Disember 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam prosiding kes, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir memohon jaminan RM300,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerugian syarikat lebih RM500,000.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A.Partheeban yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang paling rendah dengan alasan anak guamnya menghadapi pelbagai kesukaran untuk mendapat pekerjaan selepas akaun banknya dibekukan sejak Disember 2020.

“Tertuduh mempunyai tiga orang anak berusia 11, 9 dan 7 tahun yang masih bersekolah, dia sudah berpisah dengan suami dan kini tinggal di rumah ibunya.

“Faktor latar belakang penjamin yang merupakan abang kandung tertuduh juga perlu diambil kira, dia bekerja sebagai peniaga online dengan pendapatan sekitar RM3,000 dan menanggung kedua ibu bapa,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan, selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh turut diarahkan melapor diri di Balai Polis Seremban 2 setiap bulan dan kes akan disebut semula pada 25 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI