KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mensasarkan tujuh aset baharu bagi meningkatkan keupayaan masa hadapan yang dijangka beroperasi pada tahun 2024.
Panglimanya, Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman berkata, perolehan beberapa aset terbaharu itu sejajar dengan pelan strategik TUDM iaitu CAP55.
Menurutnya, TUDM sedang membuat perolehan secara berperingkat pesawat tempur ringan dwi fungsi ‘Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft’ (FLIT-LCA) yang akan mula beroperasi pada 2024.
“Keupayaan pertahanan udara juga akan dipertingkatkan dengan pelan perolehan tiga Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“TUDM juga sedang dalam proses perolehan beberapa aset lain iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS) yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024/2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, selain MALE-UAS, TUDM juga kini dalam proses perolehan pesawat peronda maritim (MPA) yang dijangka akan dapat beroperasi pada 2025.
“Bagi pesawat UAS, kini ia di peringkat penilaian fizikal yang sudah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan dan proses ini masih berjalan.
“Perolehan MPA masih di peringkat Kementerian Kewangan dan ada beberapa calon yang disenarai pendekkan, namun kita tidak akan dedahkan buat masa ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, satu perolehan lain membabitkan sistem radar pertahanan udara turut dijangka pada 2024 melalui jalinan diplomasi pertahanan bilateral bersama negara lain.
“Perolehan seterusnya adalah melalui program RMK-13 bagi melengkapkan keseluruhan sembilan radar yang diperlukan.
“TUDM juga merancang sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) mulai dari RMK-12 sehingga ke RMK-15 bagi meningkatkan keupayaan dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE