MOSCOW – Hampir 10,000 anggota tentera Rusia dilaporkan terkorban dalam pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine setakat ini, demikian menurut laporan akhbar The Sun kelmarin.
Angka tersebut didedahkan oleh akhbar pro-Moscow, Komsomolskaya Pravda yang memaparkan angka kematian sebenar tentera Presiden Vladimir Putin. Pendedahan itu adalah pertama seumpamanya setakat ini.
Moscow pada 2 Mac lalu memberitahu bahawa hanya 498 anggota tentera Rusia terkorban dalam konflik di Ukraine.
Komsomolskaya Pravda bagaimanapun melaporkan jumlah yang jauh lebih besar itu berdasarkan maklumat oleh Kementerian Pertahanan Rusia. Menurutnya, seramai 9,861 askar Putin maut dalam serangan di Ukraine, manakala 16,153 lagi cedera.
Laporan online itu bagaimanapun telah dipadam namun, beberapa tangkap layar berjaya dirakam termasuk oleh akhbar Wall Street Journal.
Statistik terbaharu itu adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat oleh Amerika Syarikat yang menyebut bahawa sekitar 7,000 askar Rusia telah terkorban dan 21,000 orang lagi cedera.
Laporan sama turut menyebut bahawa Rusia membawa pulang mayat-mayat tenteranya secara rahsia pada waktu malam menggunakan ambulans dan kereta api melalui Belarus. Ia dikatakan bertujuan untuk menyembunyikan angka kematian sebenar.
Antara kehilangan terbesar tentera Kremlin adalah lima jeneral dan beberapa orang komander termasuk daripada unit payung terjun elit.
Terbaharu, pegawai kanan yang terkorban ialah Timbalan Komander Armada Laut Hitam yang menjadi tamparan hebat kepada tentera Rusia.
Kapten kanan, Andrey Paliy pula merupakan pegawai tentera laut Rusia pertama yang terbunuh dalam peperangan tersebut. – AGENSI