MELAKA – “Benda boleh menolak, tetapi dia (Zul Ariffin) memilih sedap. Pada saya dia mencontengkan arang ke muka industri yang berkonsepkan islamik.
Demikian respon pelakon dan penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Awie apabila ditanya mengenai isu sensasi perkongsian adegan berani oleh Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia, Zul Ariffin dalam Instagram baru-baru ini.
Menurut bintang Sembilu itu, Zul sebenarnya boleh memilih sama ada menolak atau menerima sahaja tuntutan skrip berhubung adegan aksi ranjang yang sama sekali tidak sesuai dari sudut islamik.
“Itu dia gatal sebenarnya, benda boleh ditolak tetapi dia memilih sedap, dia terimalah benda tu kan (kritikan dan tindakan undang-undang),” kata Awie usai sidang akhbar Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings di Lacrista Hotel, di sini, hari ini.
Jumaat lagi, pelakon yang terkenal menerusi filem Sangkar itu mengejutkan negara apabila berkongsi klip video publisiti awal drama lakonannya bersama pelakon baharu Siti Hariessa berjudul Perempuan Itu
Antara babak yang membuatkan ramai ‘ternganga’ adalah aksi Zul mendukung Siti Hariesa seperti sedang berasmara secara berbogel serta adegan Hariesa menyuap ‘whipping cream’ ke mulut Zul.
Isu tersebut turut mendapat perhatian ramai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Idris Ahmad yang berpendapat babak tersebut tidak sesuai disiarkan terutama pada bulan Ramadan nanti.
Sementara itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) turut memandang serius dan mengambil berat pandangan orang ramai berhubung petikan adegan daripada drama Perempuan Itu yang tular di media sosial.
Menurut TV3, adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi. Malahan adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen.
Tidak terhenti di situ, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KMM), Tan Sri Annuar Musa turut membuat kenyataan bahawa Zul akan disiasat bawah Seksyen 233 Akta KMM akan diambil terhadap pelakon itu kerana perkongsian yang menyalahi undang undang.
Mengulas lanjut Awie berkata, babak-babak lakonan dengan elemen sedemikian juga merupakan pilihan yang dibuat oleh pelakon dan pengarah itu sendiri.
“Antara mereka mahu memasukkan unsur-unsur Islamik atau tidak dalam lakonan, kalau tidak mereka nak ‘go’ (jadi) profesional..hukumannya tiada, dia akan all-out.
“Kalau dia masukkan sudut Islamik ini, maka ada hukum-hukum yang mereka perlu ikut, kalau boleh pengarah-pengarah khususnya mainkan peranan seeloknya untuk adakan metafora yang sesuai,” katanya. – KOSMO! ONLINE