PETALING JAYA – Kerajaan diminta untuk mewujudkan insurans Covid-19 terhadap setiap pelancong asing serta mewajibkan pengambilannya sebelum mereka dibenarkan masuk ke Malaysia selepas pintu sempadan negara dibuka.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, langkah itu penting sebagai salah satu keperluan yang seiring dengan dengan peralihan negara ke fasa endemik pada 1 April nanti.
“Selain daripada 10 prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri seiring dengan peralihan ke fasa endemik pada 1 April nanti, saya ingin mencadangkan supaya keperluan mempunyai insuran Covid-19 sebagai salah satu langkah yang wajar bagi pelancong-pelancong asing.
“Saya juga ingin mencadangkan agar pembelian insuran pelancongan Covid-19 ini perlulah dibeli dengan menggunakan khidmat syarikat insuran tempatan,” katanya ketika berucap di Dewan Negara hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak kerajaan juga perlu memikirkan bentuk insentif yang boleh diberikan kepada pemain-pemain industri pelancongan sebagai ‘lonjakan modal’ untuk mengaktifkan semula perniagaan mereka.
“Antaranya dengan menambah peruntukan bagi Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB), di samping menimbangkan pendekatan dan kaedah yang lebih longgar dalam syarat kelulusan geran itu.
“Syarat-syarat yang terlalu ketat tidak akan menjadikan geran ini sesuatu bantuan yang menarik dan secara langsung tidak akan dapat membantu meningkatkan prestasi industri pelancongan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Hisamudin turut mempersoalkan kewajaran pinjaman bagi Tabung Industri Pelancongan dan Tabung Infrastruktur Pelancongan yang perlu diaktifkan semula.
“Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) haruslah mengkaji adakah penubuhan tabung-tabung ini telah mencapai matlamatnya.
“Sekiranya tidak, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan supaya pemain-pemain industri pelancongan negara kita mendapat manfaat penuh darinya?” soalnya lagi. – KOSMO! ONLINE