PETALING JAYA – Menara Kuala Lumpur (Menara KL) berminat menjalin kerjasama dengan dua lagi menara pencakar langit utama di Kuala Lumpur iaitu The Exchange 106 (dahulunya dikenali sebagai Menara TRX) dan juga Menara PNB bagi menawarkan satu produk pelancongan yang unik kepada pelancong khususnya dari luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Ainol Shaharina Sahar berkata, melalui kerjasama dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), pengunjung yang berada di Sky Deck di menara ini boleh merakam gambar berlatar belakangkan KLCC.
“Dulu ramai yang berpendapat, KLCC akan menjadi pesaing kepada Menara KL tetapi sebenarnya ia telah melengkapi antara satu sama lain dan menjadikannya sebagai satu tarikan unik untuk menarik pengunjung berkunjung ke sini.
“Jadi saya melihat, kerjasama yang boleh dijalankan dengan Menara PNB dan The Exchange 106 bakal menjadi satu destinasi unik buat pelancong pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan prebiu bufet Ramadan di Menara KL baru-baru ini.
Selain itu, mengulas mengenai pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, Ainol Shaharina menerangkan, sasaran jumlah pengunjung pada tahun ini bergantung selepas sebulan daripada tarikh penting tersebut.
Menurut beliau, pengumuman tersebut memberi satu kegembiraan buat semua kerana merupakan antara usaha untuk memulihkan semula industri pelancongan yang begitu suram sejak dua tahun lepas.
“Kami tidak sabar menunggu hari tersebut dan apabila pintu sempadan dibuka, ini adalah peluang kepada kakitangan mempromosikan Menara KL kepada orang luar,” jelasnya.
Mengenai bufet Ramadan pada tahun ini, Menara KL mengetengahkan hidangan ber konsepkan Sajian Nostalgia Kampungku dengan menawarkan pelbagai juadah dari desa bagi mengimbau kenangan berbuka puasa bersama keluarga di kampung halaman sebelum ini.
Tambah beliau, terdapat pelbagai sajian menarik dari negeri-negeri yang memiliki menu klasik yang menyelerakan.
Antaranya adalah Johor yang terkenal dengan nasi beriani, opor daging Pahang, ikan masak gulai Pantai Timur dan ayam masak lemak cili padi Negeri Sembilan.
Menikmati sajian berbuka puasa di ketinggian 288 meter dengan menyaksikan panorama Kuala Lumpur pada waktu terbenam itu juga turut menawarkan pelbagai menu dari Barat, pemanis mulut dan juga kaunter juadah unik untuk kanak-kanak.
Harga bufet untuk tempahan awal di Dewan Bankuet Megaview, TH03, Menara KL adalah RM88 untuk dewasa, RM49 untuk kanak-kanak, manakala pada hujung minggu termasuk cuti umum, dewasa (RM128) dan kanak-kanak (RM72).
Tawaran bagi hari biasa pula RM125 untuk dewasa, kanak-kanak RM70, manakala pada hujung minggu, dewasa (RM160) manakala kanak-kanak (RM90). -KOSMO! ONLINE