PETALING JAYA – Meskipun ramai mengecam dan tidak bersetuju dengan tindakan pelakon Zul Ariffin, aktres yang dapat dengan dirinya iaitu Ruhainies memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pelakon itu.
Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas memaklumkan, aktor berbadan sasa itu pasti sudah mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku.
“Sebagai antara rakan artis yang rapat dengan Zul, saya tak mahu komen lebih-lebih. Sebab bimbang nanti akan disalah erti. Cuma tidak dinafikan, saya antara yang ditanya media dan peminat mengenai isu berkenaan.
“Apa pun, orang di luar sana boleh bercakap macam-macam. Siapa yang mengenali Zul secara dekat, pasti tahu dia bagaimana orangnya. Di luar set (lakonan) dia bukanlah seperti apa yang digambarkan sesetengah pihak,” kata Ruhainies, 30.
Dalam pada itu, permohonan maaf yang dikemukakan pelakon filem Penunggang Agama itu sepatutnya diterima dengan hati terbuka oleh orang ramai, bukannya terus dikritik.
Katanya, adalah tidak adil jika hanya menuding kesilapan kepada satu pihak sahaja.
“Zul sendiri sudah pun memohon maaf atas apa yang berlaku. Bukan bermaksud nak ‘back up’ kerana yang salah tetap salah. Cuma setiap manusia pasti tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Harap semua dapat memaafkan dia.
“Saya percaya, Zul selepas ini akan lebih berhati-hati dan fikir panjang untuk menerima mana-mana tawaran selepas ini. Lebih baik untuk kita sebarkan apa yang positif dan ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku,” katanya lagi.
Sementara itu, Ruhainies yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Zul dalam drama rantaian, Wifi Sebelah Rumah menyifatkan lelaki itu seorang sahabat yang baik.
“Dia sahabat yang sangat baik dan tidak lokek berkongsi ilmu dalam bidang lakonan. Dia juga melayan baik semua orang. Jadi, ini pun salah satu sebab saya senang berkawan dengan Zul,” katanya.
Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan Twitter berkata, pelakon itu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) susulan tindakan memuat naik klip video ‘panas’ di laman sosial.
Nama Zul Ariffin tiba-tiba meledak dalam dunia seni tanah air apabila berkongsi sedutan babak panas daripada drama Perempuan Itu.
Lakonannya menjadi bahan buah mulut ramai kerana memaparkan aksi yang tidak sesuai untuk disiarkan untuk tatapan umum seperti mendukung pelakon wanita Siti Hariesa dan menyuap ‘whipping cream’ dalam keadaan ghairah. – KOSMO! ONLINE