PENANTIAN paling bahagia buat pasangan bergelar suami isteri apabila cahaya mata sulung mereka selamat dilahirkan dengan sempurna dan sihat.
Kebahagiaan itu yang sedang dirasai penyanyi rap seksi, Giant Pink yang selamat melahirkan seorang bayi lelaki minggu lalu.
Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri pemenang program Unpretty Rapstar 3 itu menerusi Instagramnya.
Dalam perkongsian tersebut, Giant Pink memuat naik dua keping gambar suaminya, Han Dong-eun bersama bayi mereka di dalam wad hospital.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak mendedahkan nama mahupun wajah anak lelaki mereka kepada peminat buat masa ini melainkan menggelarkan bayi itu sebagai Pinky.
Giant Pink atau nama sebenarnya Park Yun-ha mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang merupakan ahli perniagaan pada November 2020.
Dia kemudian mengumumkan kehamilannya pada Disember tahun lalu dan mengubah gaya hidupnya, meninggalkan minuman keras demi bayi dalam kandungan.