CYBERJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPTK) memberi jaminan projek perumahan Pangsapuri Aspire Residence membabitkan 1,168 unit akan siap sepenuhnya pada Julai 2023.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerja-kerja pembangunan projek kediaman Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) itu akan bermula April ini sehinggalah siap dalam tempoh 16 bulan.
Beliau berkata, projek kediaman SPNB Aspire Residence dengan 558 pembeli itu mula dibangunkan pada 2016, namun mengalami kelewatan dan dikategorikan sebagai projek sakit di dalam War Room Perumahan KPKT.
“Setelah perbincangan dan rundingan di antara SPNB dan Sterling Prima Sdn. Bhd. diadakan, kedua-dua pihak bersetuju supaya langkah penamatan bersama diambil bagi membolehkan pembinaan projek ini diteruskan.
“SPNB telah melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan Fasa 1 dalam tempoh 16 bulan,” katanya ketika mengadakan lawatan turun padang dan mengumumkan komitmen KPKT di sini hari ini.
Reezal Merican berkata, kementerian mengambil berat tentang keresahan dan kegelisahan para pembeli serta telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pembeli pada 22 Februari lalu.
“Ini termasuklah usaha mendapatkan penjadualan semula bayaran atau moratorium bagi pembeli yang meminjam dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Adam (LPPSA) bagi semua projek dikategorikan sebagai sakit di bawah seliaan KPKT. – KOSMO! ONLINE