fbpx

Program Sinar Baru cipta usahawan jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUALA LUMPUR 22 MAC 2022 - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (dua dari kiri) melawat sekitar demonstrasi jahitan pada Majlis Pelancaran Program Sinar Baru TH "Usahawan Jahitan Bersama Dana Kita", di sini, hari ini. GAMBAR-MOHD FARIZWAN HASBULLAH / PEMBERITA-SHAFIQAH/HUDA

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pertubuhan Dana Kita melancarkan Program Sinar Baru yang bertujuan untuk membantu golongan asnaf yang berminat untuk menjadi usahawan dalam bidang jahitan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Program Sinar Baru itu merupakan satu usaha yang amat baik dengan hasrat untuk membantu memberi kemahiran asas kepada para asnaf supaya mereka dapat berdikari seterusnya menjadi usahawan, hasil ilmu daripada kemahiran yang telah dipelajari.

“Jika kita lihat negara dilanda pandemik pada akhir tahun 2019, ramai dalam kalangan masyarakat terutama daripada golongan B40 yang hilang pekerjaan makanya tiada sumber pendapatan. Hidup mereka jadi bertambah sukar malah ada dalam kalangan M40 yang turut terkesan, dihimpit beban kewangan yang teruk.

“Bertepatan dengan namanya, Program Sinar Baru TH ini pastinya merupakan peluang terbaik buat semua asnaf terpilih dan menjadi sinar harapan untuk mereka bangkit memperbaiki taraf kehidupan masing-masing,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut di Menara TH Tun Razak, di sini hari ini.

Katanya, bengkel Pengurusan Jahitan Program Sinar Baru itu dianjurkan secara percuma kepada 50 peserta asnaf terpilih di sekitar Lembah Klang.

Program berkenaan juga dijangka akan diperluaskan di seluruh negara sebagai salah satu usaha pihak TH dalam menggerakkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, sebanyak RM272,500 telah diperuntukkan di bawah Program Sinar Baru ini bagi pembelian mesin-mesin jahit industri, barangan keperluan jahitan, seterika wap, makan minum sepanjang bengkel asas tiga hari termasuk kos pengurusan.

“TH berharap kerjasama dengan Dana Kita ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di Malaysia. Kemahiran menjahit yang diajarkan dalam bengkel serta peluang turut serta dalam projek jahitan oleh Dana Kita itu nanti, diharapkan dapat menjadi sumber rezeki dan mata pencarian baharu buat para asnaf yang terlibat.

“Insya-Allah TH akan terus melaksanakan program-program zakat seperti ini pada setiap tahun dan memastikan golongan sasaran mendapat faedah serta manfaat dari kesemua program yang dijalankan,” katanya.

Katanya, bengkel pengurusan Jahitan Program Sinar Baru itu akan dijalankan selama tiga hari di Wisma Pertubuhan Dana Kita, Gombak dan pemantauan terhadap peserta usahanita asnaf akan dilakukan selama setahun.

“Melalui data yang diperolehi daripada Pejabat Zakat, pihak sekolah dan komuniti kampung serta Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MGBWPKL), pemilihan peserta asnaf akan disaring oleh AJK Majlis Tertinggi Pertubuhan Dana Kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI