LONDON – Sebuah pondok tepi pantai di sebuah lokasi peranginan utama di Wales diiklankan untuk dijual pada harga mencecah £200,000 (RM1.1 juta), lapor akhbar The Sun kelmarin.
Harga itu adalah £25,000 (RM138,191) lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan bagi sebuah pondok tepi pantai di sebuah resort di Wales Utara sebelum ini.
Pondok berukuran lebar 3.2 meter (m) dan setinggi 3.9 m itu terletak di kawasan utama Pantai Abersoch dalam daerah Gwynedd. Pondok itu menawarkan pemandangan indah panorama pantai dan laut.
Ia menyediakan dek persendirian, namun tidak mempunyai kemudahan elektrik, perparitan atau bekalan air.
Sebagai perbandingan, harga purata sebuah rumah di daerah Gwynedd pada tahun lepas adalah £235,494 (RM1.3 juta).
Pantai Abersoch digelar sebagai Cheshire-on-Sea disebabkan oleh popularitinya dalam kalangan selebriti dan bintang sukan yang mempunyai rumah kedua di wilayah itu. – AGENSI