MANAMA, Bahrain – Pengorbanan pasukan Ferrari sejak beberapa tahun lalu untuk membina jentera terbaik akhirnya berhasil apabila pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali itu meraih kemenangan 1-2 pada aksi pembukaan Grand Prix (GP) Bahrain awal pagi semalam.
Penantian pelumba Ferrari, Charles Leclerc menempuhi 45 perlumbaan tanpa kemenangan berakhir apabila kembali meraih kemenangan selepas mengharungi dua tahun mencabar.
Lebih menarik, pemandu kelahiran Monaco tersebut melintasi garisan penamat dengan kelebihan 5.5 saat meninggalkan rakan sepasukannya, Carlos Sainz di kedudukan kedua, manakala juara dunia tujuh kali dari Mercedes, Lewis Hamilton sekadar podium tempat ketiga.
Pada perlumbaan itu juga menyaksikan pasukan Red Bull berdepan mimpi ngeri apabila juara dunia 2021, Max Verstappen berdepan masalah mekanikal selain seorang lagi pemandu mereka, Sergio Perez turut gagal menamatkan perlumbaan.
“Dua tahun lalu adalah paling sukar buat pasukan dan kemenangan ini adalah peluang besar untuk kami kembali di atas podium dengan trofi kemenangan.
“Saya rasa luar biasa apabila kembali ke podium dengan jentera Ferrari yang berdaya saing.Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh pasukan, anda telah melakukan kerja yang menakjubkan dan kemenangan ini adalah untuk anda semua.
“Bagaimanapun, saya akui ia adalah perlumbaan yang sukar dan saya memberikan segalanya di atas trek. Terima kasih sekali lagi kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang tahun lalu,” kata Leclerc.
Sementara itu, pasukan Red Bull ternyata kecewa selepas memperolah keputusan yang menghampakan pada perlumbaan pembukaan tersebut.
“Gagal mengutip sebarang mata adalah satu keputusan yang kejam dan mengecewakan. Tetapi, perkara yang positif adalah kami mempunyai jentera yang berdaya saing.
“Kami akan cuba selesaikan masalah ini untuk melakukan persiapan menjelang perlumbaan seterusnya di Grand Prix Arab Saudi Ahad nanti,” ujar ketua pasukan Red Bull, Christian Horner. – AGENSI