KEMAMAN – Seorang pemancing budiman membantu seekor anak penyu yang cedera akibat tersangkut pada mata kail di Kuala Kertih di sini semalam.
Mahadi Mat,42, berkata, dia berjumpa dengan penyu spesies agar seberat kira-kira 10 kilogram (kg) itu ketika sedang memancing di muara sungai tersebut pada pukul 6.50 petang.
“Pada mulanya hairan juga anak penyu agar itu amat jinak dan berenang menghampiri saya.
“Rupa-rupanya haiwan reptilia itu mahu meminta pertolongan kerana mata kail tersangkut pada mulutnya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu video dia menyelamatkan haiwan diancam kepupusan berkenaan tular di media sosial dan mendapat pujian netizen sejak malam tadi.
Mahadi berkata, dia yang kasihan telah membantu anak penyu itu dengan mencabut mata kail berkenaan.
Pemandu lori itu memberitahu, dia yang ditemani isteri, Rohayati Yusof, 32, serta dua anak mereka kemudiannya membawa anak penyu berkenaan ke pesisir pantai berhampiran sebelum melepaskannya.
“Penyu itu tiada kecederaan lain dan saya berharap ia kekal sihat dan kembali mendarat untuk bertelur di Pantai Kertih di sini apabila dewasa kelak. – KOSMO! ONLINE.