KETUA jurulatih skuad projek khas hoki wanita, Nasihin Nubli Ibrahim akan memilih 20 pemain terbaik bagi menggalas cabaran negara pada Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 1 hingga 12 April depan.
Ia bakal menjadi penampilan bersejarah buat Malaysia yang akan turun buat kali pertama di pentas berprestij dunia itu sejak ia mula diperkenalkan di Ottawa, Kanada pada tahun 1989.
Nasihin mengakui gembira kerana dapat mengenal pasti bakat-bakat baharu pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Vivian May Soars yang melabuhkan tirainya kelmarin untuk dibawa ke Afrika Selatan.
“MHL adalah pentas pemilihan pemain bagus buat skuad Piala Dunia Remaja Wanita. Barisan kejurulatihan telah membuat penilaian daripada pelbagai sudut untuk melengkapkan senarai 20 pemain yang mantap.
“Beberapa pemain yang bukan dari skuad projek khas juga diperhatikan sejak bermulanya MHL dan pemain-pemain itu telah mencapai tahap kualiti baik untuk dipilih ke Piala Dunia Remaja Wanita 2022.
“Kami melihat kepada tahap kualiti teknikal pemain-pemain bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan pantas terutamanya di peringkat yang tinggi,” katanya.
Antara nama tersenarai seperti penjaring terbanyak MHL, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd. Nor dan Nur Maziatulhanim Syafi Shiek Fuad.
Sebagai rekod, Malaysia akan membuka kempen Piala Dunia Remaja Wanita 2022 dalam saingan Kumpulan D menentang Jerman pada 2 April depan diikuti Wales (3 April) dan India (5 April).