JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Kejayaan tersebut menyaksikan pelumba dari Dungun, Terengganu tersebut diangkat selaku Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat selepas kali terakhir merangkul anugerah berprestij itu pada tahun 2009, 2010 dan 2017.
Pada 2019, Azizul yang membuat persiapan terbaik sebelum ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tampil cemerlang apabila merangkul pingat emas pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Jincheon, Korea.
Kejayaan itu tidak terhenti di situ sahaja apabila Azizul yang terkenal dengan gelaran Pocket Rocketman turut meraih emas dalam acara pecut individu pada Kejohanan Trek Asia 2019 dan turut melakukan kejutan merangkul pingat emas acara keirin pada siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand.
Sementara itu, kejutan turut berlaku bagi kategori Olahragawati Kebangsaan apabila atlet wushu negara, Tan Cheong Min memahat sejarah sukan negara selepas dinobatkan menerima gelaran berprestij tersebut.
Lebih menarik, sejak anugerah berkenaan mula dipertandingkan pada 1966, ini kali pertama atlet wushu memenangi anugerah berprestij tersebut selepas mengetepikan beberapa calon termasuk Pandelela Rinong Pamg (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).
“Saya masih tidak percaya berjaya memenangi anugerah ini kerana terdapat calon yang meraih pencapaian lebih tinggi berbanding saya.
“Ini berita gembira buat sukan wushu dan satu penghargaan buat atlet sukan ini. Saya masih belum beraksi di mana-mana kejohanan sejak kejohanan dunia, namun ia pembakar semangat buat saya untuk berusaha lebih keras pada Sukan Asia Hangzhou tahun ini. Saya sudah menang lebih daripada 100 pingat emas, namun ini adalah pencapaian terbesar saya,” kata Cheong Min.
Kejayaan Cheong Min memenangi pingat emas pada Kejohanan Wushu Dunia kali ke-15 di Shanghai, China meletakkannya sebagai atlet wanita terbaik pada ketika itu.
Bagi kategori Olahragawan Paralimpik, pemanah negara, S. Suresh membanggakan Malaysia apabila menjuarai acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, di Hertogenbosch, Belanda.
Pemenang Olahragawan dan Olahragawati Kebangsan serta Paralimpik akan menerima menerima piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.
Skuad tenpin boling lelaki yang terdiri daripada Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek meraih Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.
Sementara itu, Pandelela berjaya meraih Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan bersama Datuk Leong Mun Yee selepas berganding bersama dalam acara terjun seirama wanita.
Jurulatih para memanah, Marzuki Zakaria meraih Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan dan Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan diraih Nor Hashimah Ismail bagi sukan boling padang.
Anugerah Kepimpinan Sukan diberikan kepada bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S Vegiyathuman (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan Kamaruzaman Kadir (Persatuan Powelifting Para Malaysia).
Anugerah Khas diberikan kepada Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands, Pahang dan Kelab Penyokong Malaysia Famemas. – KOSMO! ONLINE