KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Universiti UCSI hari ini menjalinkan kerjasama bertujuan meluaskan kajian teknologi 5G di negara ini.
Pengerusi MCMC, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, hasil kerjasama itu MCMC akan menggunakan Pusat Kajian Polisi, Sains, Teknologi dan Inovasi Tan Sri Omar Abdul Rahman serta Pusat Penyelidikan Undian UCSI bagi menjalankan kajian terbabit.
“Hasil kolaborasi ini akan tertumpu kepada penyelidikan teknologi 5G khususnya proses pendidikan, sistem serta menggalakkan proses pembelajaran seperti teknologi perubatan.
“Selain itu, kita juga akan membangunkan kursus kepada pelajar termasuk Forensik Digital, Bioinformatik, Analitik Data Raya dan Keselamatan Siber,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Universiti UCSI di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Katanya, pelaksanaan seminar, persidangan serta bengkel dalam komunikasi dan teknologi informasi seperti UCSI SIAP (Strengthening Industry-Academia) akan dijalankan pada masa hadapan.
Sementara itu, Siti Hamisah berkata, ahli akademik merangkap pendidik perlu menitikberatkan inovasi ketika proses pembelajaran bagi mencetuskan minat pelajar.
“Ini penting bagi menghasilkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, teknologi 5G dan revolusi akan datang.
“Secara tidak langsung kursus yang ditawarkan mampu melahirkan pelajar serta graduan muda berkemahiran tinggi dalam dunia pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.