GEORGE TOWN – Mayat awak-awak warga Thailand yang hilang selepas bot dinaiki karam akibat kejadian angin kuat kelmarin dijumpai berhampiran Pulau Kendi dekat sini pagi tadi.
Mangsa, Sorawit Thapchaiyut ditemui pasukan penyelam swasta dalam keadaan badannya tersangkut pada pukat berdekatan bot berkenaan pada pukul 10 pagi.
Jurucakap bomba berkata, mangsa kemudiannya dibawa pasukan Maritim Malaysia ke jeti Polis Marin Batu Uban di sini untuk siasatan.
“Kematian lelaki itu disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pukul 1.18 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan dua nelayan selamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki tenggelam di perairan Pulau Kendi pada pukul 5 hingga 6 pagi.
Mangsa ialah warga tempatan, Tan Soon Gin, 36, dan warga Thailand, Pai San Chu Kaw, 40-an diselamatkan nelayan pantai selepas beberapa jam kejadian berlaku. Semasa kejadian mereka menangkap ikan di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE.