BARISAN pemain kini cukup bersemangat untuk membantu skuad Harimau Malaya mengaum semula di pentas antarabangsa menjelang aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Nasional, Singapura malam esok.
Pemain sayap negara, Faisal Halim percaya, selepas lebih seminggu menjalani kem latihan pusat di bawah kendalian pengendali import baharu, Kim Pan-gon, barisan pemain mendapat kesefahaman yang baik.
“Saya optimis kita dapat meraih keputusan positif pada dua aksi persahabatan nanti kerana pemain negara bukan tidak mempunyai kualiti untuk bersaing di peringkat tertinggi, cuma tiada nasib sebelum ini.
“Namun, di bawah kendalian Pan-gon, saya lihat pemain lebih bersemangat dan sudah pasti perubahan akan berlaku dalam corak permainan pasukan pada perlawanan nanti kerana dia menuntut aksi agresif dalam kalangan pemain.
“Selain itu, dia juga mahukan pasukan tampil lebih berdisiplin dan beraksi dengan semangat berpasukan yang tinggi.
“Semua pemain juga cukup teruja untuk berada di bawah bimbingannya,” katanya selepas tamat sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Mengulas lanjut, pemain kelab Terengganu FC (TFC) berusia 24 tahun itu mahu pemain menunjukkan keupayaan sebenar, sekali gus melaungkan amaran awal sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.
“Saya berharap pasukan dapat berikan yang terbaik kerana jika kita tidak dapat kejayaan pada aksi kali ini, bagaimana kita mahu bersaing dengan pasukan seperti Bahrain dan Turkmenistan di pusingan kelayakan nanti,” katanya.
Sebagai rekod, aksi bertemu Filipina bakal menjadi ujian pertama buat Pan-gon selepas dilantik menjadi pengendali baharu skuad negara menggantikan posisi Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan pada Januari lepas.
Selepas aksi menentang Filipina, skuad Harimau Malaya akan dijadualkan bertemu dengan Singapura pada Sabtu ini.