SEREMBAN – Kenaikan harga simen ketika ini didorong oleh peningkatan harga bahan mentah yang digunakan dalam proses pembuatan bahan itu terutama arang batu di pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Sharuddin Omar Hashim berkata, harga pasaran harga arang batu yang sangat tinggi menyebankan syarikat pengeluar simen sebagai pemain industri tidak mempunyai pilihan dan kenaikan itersebut berlaku sejak 2016 hingga kini.
Sharuddin berkata, bagaimanapun kenaikan harga arang batu ketika ini didorong oleh faktor larangan eksport oleh Indonesia serta berlakunya konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine.
“Kami terpaksa (menaikkan harga) memandangkan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran simen telah naik dengan sangat tinggi, contoh paling utama adalah penggunaan arang batu.
“Ini disebakan, sebelum ni adanya larangan eskport dari negara Indonesia ke luar dan juga peperangan antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan kesulitan mendapatkan bekalan arang batu sekaligus berlaku kenaikan harga arang batu yang sangat tinggi,” katanya dalam taklimat bersama media di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Loji Simen (Bahau), Azahari Matt dan Ketua Pegawai Kewangan CIMA, Khor Khai Nee.
Jelas Sharuddin, bahan-bahan mentah lain dalam pengeluaran simen juga telah naik agak tinggi ekoran pandemik Covid-19 selain masalah kesesakan dari segi logisitik dan pengagihan.
Beliau berkata, peningkatan harga bahan mentah tersebut turut menyebabkan syarikat pengeluar simen di negara ini termasuk CIMA tiada jalan lain dan terpaksa menaikkan harga simen bagi meneruskan operasi.
“Kenaikan harga bahan mentah ini meliputi 30 hingga 40 peratus dari kos pengeluaran kami, jika dilihat harga arang batu sebelum ini di luar sana dalam lingkungan AS$60 hingga AS$70 satu tan, namun kini telah meningkat kepada AS$200 satu tan dan mungkin mencecah sehingga AS$400.
“Sebelum ini harga simen agak mendatar dan kami telah banyak menyerap tetapi berikutan situasi semasa, kami terpaksa naikkan harga simen ni. Bagaimanapun, kami cuba sedaya upaya untuk mengoptimumkan pengeluaran kami sebaik mungkin dan cuna mengurangkan kos pengeluaran,” katanya. -KOSMO! ONLINE.