JAKARTA – Seorang pesohor YouTube di Indonesia berdepan hukuman penjara tiga bulan kerana berdiri di bawah landasan ketika tren bergerak laju semata-mata untuk menghasilkan kandungan tular, lapor laman berita Detik hari ini.
Dede Inoen melakukan aksi berbahaya itu di Cianjur, dalam wilayah Jawa Barat dan memuat naik video tersebut pada Disember tahun lalu. Ia bagaimanapun hanya menjadi tular baru-baru ini.
Dalam videonya, dia berada di bawah landasan kereta api di sebuah jambatan sepanjang beberapa puluh meter yang dibina merentasi sebatang sungai.
Dia merakam gambar kepalanya terjojol keluar di landasan tersebut.
Sebuah kereta api kemudiannya meluncur laju ke arah mereka dan Dede meneruskan rakaman dengan keadaan dirinya berada di bawah badan kereta api.
Menurut Dede, dia pada awalnya berada di kawasan landasan kereta api itu untuk menangkap ular bagi dijadikan bahan pembelajaran.
“Kandungan video itu sebenarnya adalah untuk mencari ular, namun ketika menyeberangi jambatan, sebuah kereta api melalui landasan tersebut.
“Disebabkan itu, saya hanya berdiri di jambatan itu kerana berbahaya jika saya melompat ke dalam sungai,” jelasnya.
Disebabkan aksi berbahaya itu, Dede berdepan hukuman penjara tiga bulan atau denda 15 juta rupiah (RM4,403) di bawah Perkara 199 Undang-Undang No 23 Tahun 2007 mengenai Kereta Api.
Dia bagaimanapun diberi peluang untuk membuat permohonan maaf yang dimuat naik di platform media sosial miliknya bagi mengelakkan daripada didakwa. – AGENSI