fbpx

Jahitan manik serlahkan gaya menarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUSANA ringkas ini kelihatan elegan dan sesuai digayakan untuk acara makan malam.

SITUASI pandemik Covid-19 yang menjadikan orang ramai beralih kepada medium membeli-belah secara dalam talian telah menjadikan industri e-dagang berkembang maju apabila pereka-pereka fesyen dari dalam atau luar negara mula mewujudkan platform pembelian secara online.

Menyedari hakikat tersebut, seorang wanita yang tidak asing lagi dalam dunia fesyen mewujudkan platform beli-belah secara online dikenali sebagai Secret Modest.

Pengalaman berkecimpung dalam industri fesyen selama 26 tahun menjadikan Datuk Asfarena Samion Mon memberanikan diri melangkah ke hadapan dengan meneroka segmen pasaran online menerusi pelancaran laman web fesyen tersebut pada 22 Februari lalu.

Secret Modest tercetus daripada pengalaman dan perjalanan kerjaya Asfarena yang bermula sebagai seorang tukang jahit sehingga mewujudkan jenamanya sendiri, Asfarena.

Asfarena yang terkenal dengan rekaan busana kardigan labuh berkata, penubuhan laman itu merupakan salah satu usahanya untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Tujuan penubuhan Secret Modest adalah untuk memberi peluang dan ruang bagi memasarkan busana rekaan saya ke peringkat antarabangsa.

“Selain rekaan sendiri, Secret Modest turut mempamerkan dan menjual rekaan beberapa jenama atau pereka tempatan lain yang cukup berbakat seperti Casalwa Boutique, Elrania Exclusive, IKBN, PENDETA dan Zabell.

“Ia merupakan platform terbaik bagi pereka-pereka di negara ini untuk mempamerkan rekaan mereka kepada dunia,” ujarnya kepada Stailo.

Bagi koleksi sulungnya yang dipasarkan menerusi laman web itu, Asfarena menampilkan tiga rekaan menawan yang sesuai untuk diperagakan sepanjang masa.

Busana pertama merupakan set blaus polos dan kain bercorak yang dinamakan Laila.
Laila menampilkan blaus polos hitam yang dipadankan dengan kain bercorak daripada rona hitam dan putih.

MATERIAL linen untuk gaya yang lebih santai dan selesa.

Blaus potongan pendek dengan perincian tali pinggang dan manik daripada rona jingga itu menaikkan seri busana monokromatik itu.

Malah, penggunaan fabrik jenis berkilau pula menjadikan busana tersebut tampil elegan dan sesuai digayakan pada Hari Raya Aidilfitri atau acara makan malam formal.

Busana kedua yang dipertaruhkan Asfarena pula adalah rekaan kardigan labuh berwarna merah jambu dusty yang diberi nama Warda.

Menurut Asfarena, rekaan tersebut merupakan rekaan kegemarannya bagi koleksi itu memandangkan dia sendiri cukup gemar menggayakan kardigan labuh sebagai gaya hariannya.

“Saya merupakan seorang penggemar kardigan labuh dan gaya itu amat sinonim dengan diri saya.

“Namun, bagi menambah seri pada kardigan ini, saya menjahit perincian manik pada bahagian bahu kanan yang menyerlahkan lagi keanggunan pemakai,” ujarnya.

Biarpun tanpa perincian yang begitu sarat, busana kardigan labuh itu sesuai diperagakan oleh wanita daripada semua peringkat usia, khususnya mereka yang menggemari gaya sopan.

Rekaan ketiga pula adalah set blaus dan kain yang diberi nama Sayfa.

Sayfa didatangkan dalam dua rona coklat berbeza yang dihasilkan dengan menggunakan material linen.

Bagi mengelakkan ia kelihatan terlalu polos, Asfarena meletakkan perincian manik berbentuk bulatan pada sisi kiri pakaian tersebut sekali gus menaikkan seri busana itu.

Koleksi-koleksi tersebut boleh dibeli menerusi laman web www.secretmodest.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI