PORT DICKSON – Hanya sebak dan hiba dirasai Habibah Abd. Samad, 46, ketika dia menaiki pentas untuk menerima skrol diploma bagi mewakili arwah anaknya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Habibah yang juga ibu kepada Allahyarham Mohd. Arif Haikal Azlan, 23, graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Port Dickson itu mengakui, dia tidak henti mengalirkan air mata sepanjang majlis konvokesyen berlangsung petang tadi.
“Arwah sudah memaklumkan dia mendapat cuti untuk hadir majlis pada hari ini. Arwah juga telah membeli baju baharu, namun tidak sempat untuk memakainya pada majlis ini.
“Anak saya itu mengalami kemalangan ketika pulang dari tempat kerja di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam ke rumahnya di Jasin, Melaka,” katanya.
Allahyarham Mohd. Arif Haikal meninggal dunia akibat cedera di kepala selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain pada pukul 7.30 malam ,3 Mac lalu.
Allahyarham dilaporkan koma sebelum meninggal dunia di Hospital Melaka pada 7 Mac lalu.-KOSMO! ONLINE