JAKARTA – Seorang finalis pertandingan Ratu Cantik Banten 2021 mendedahkan bahawa dia pernah dicurangi bekas teman lelaki kerana menganggap penampilannya tidak secantik gadis-gadis popular di media sosial, lapor portal Wolipop hari ini.
Amalia Fauziyyah Idris dalam satu hantaran di TikTok berkongsikan gambar lamanya pada tahun 2019 sambil mengucapkan terima kasih kepada bekas teman lelakinya kerana menjadikan dirinya seperti hari ini.
“Buat Arip yang curang kepada saya kerana berpendapat saya tidak secantik gadis-gadis di TikTok. Terima kasih kerana curang. Kerana awak, kini saya mendapat yang lebih baik,” katanya pada hantaran tersebut.
Menurut Amalia, ketika itu, dia berasa tidak yakin dengan diri sendiri kerana sering dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain.
“Saya ditinggalkan kerana dia (bekas kekasih) menyukai orang lain. Itu adalah kisah yang berlaku ketika zaman belajar,” ujarnya.
Tambah Amalia, disebabkan sering dibandingkan dengan gadis lain, dia pernah mengamalkan diet tidak sihat sehingga menyebabkan dirinya tertekan.
“Saya enggan bertemu dengan orang lain dan tidur di bilik yang gelap. Selepas tiga bulan, saya cuba memaafkan dan berdamai dengan diri sendiri serta orang lain yang menyakiti hati saya.
“Saya juga mula melakukan pelbagai perkara positif untuk membantu diri menjadi lebih cantik secara semula jadi termasuk dengan bergelar finalis Ratu Cantik Banten 2021,” katanya. – AGENSI