HUJUNG minggu lalu, atmosfera dunia hiburan panas dengan perkongsian klip video promosi drama Perempuan Itu yang dikongsikan pelakonnya, Zul Ariffin dalam Instagram.
Sejurus perkongsian hangat tersebut, berderu-deru kecaman, kritikan bahkan teguran diberikan ramai pihak termasuklah netizen, agamawan dan menteri.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut, terkedu bersulam kecewa kerana dalam tempoh kurang sebulan umat Islam akan menyambut Ramadan, negara digemparkan dengan video tidak senonoh sebegitu.
Netizen yang menjadi penonton berpendapat, sedari dahulu ada banyak desakan dan tuntutan agar kualiti naskhah lakonan tempatan dinaik taraf dan tidak tertumpu dengan jalan cerita hambar terutamanya melibatkan kisah cinta, perebutan kuasa dan orang kaya semata-mata.
Cuma, bukan ini caranya. Bukan bermaksud naik taraf tersebut dibolehkan dengan babak-babak panas dan kontroversi yang melanggar batas agama.
Jika alasan membuat kandungan sebegitu untuk pengajaran, ternyata keputusan tersebut sangat salah. Ada banyak lagi perkara yang boleh diperhalusi untuk memberi teladan kepada penonton dan sepatutnya babak sebegitu tidak perlu untuk ditayangkan kepada umum.
Pierre Andre yang sebelum ini merupakan pelakon dan pengarah terkenal menerusi YouTube miliknya tampil memberi pandangan.
Kata sutradara filem 9 September itu, tidak semua benda yang ada dalam kepala seseorang pengarah atau penerbit boleh ditunjukkan kepada umum.
“Sepanjang saya mengarah filem sebelum ini, benda ini (aksi tak senonoh) sangat sensitif.
“Sepatutnya perkara sebegini kena lebih berhati-hati. Tak boleh nak visualkan ikut suka hati kita. Kalau tak, lama-lama drama kita jadi drama porno. Itu sangat bahaya dan tak nak industri kita terjebak seperti Barat. Mereka lain, kita ini Islam,” ujarnya.
Tambah Pierre lagi, ada banyak perkara lain yang boleh diangkat dalam sesebuah naskhah dan boleh memberi imej lebih baik kepada masyarakat yang menonton.
“Kita boleh buat karya yang beri imej baik dan bentuk minda masyarakat jadi lebih positif dan elok.
“Bayangkan kalau budak-budak atau remaja yang sukakan Zul tengok babak itu, sangat tak sesuai dan memang tak patut dibuat. Saya tak salahkan sesiapa, tapi janganlah buat karya tak fikir kesannya selepas orang tonton.
“Saya sendiri tak pasti adakah ini cara marketing produksi. Ini sangat memalukan,” kata Pierre lagi.
Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Syed yang sebelum ini cukup lantang bersuara dan kerap menegur isu sensasi membabitkan golongan selebriti turut tampil memberi teguran dan nasihat.
Katanya, perbuatan melakonkan watak tanpa sensitif isu halal dan haram yang ditetapkan menunjukkan kita berani menentang hukum Allah SWT.
Perbuatan yang dilakukan Zul dalam babak berkenaan menunjukkan sesuatu yang mencarik keharmonian Islam.
“Sedarkah kita, dalam kehidupan kita sebagai seorang Islam, ada halal dan haram. Ada juga perkara syubhah. Mendedahkan aurat dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram satu perkara yang haram.
“Apalagi kalau melakonkan watak-watak walaupun mungkin tidak berlaku perkara tersebut tapi kita melakonkan seolah-olah itu terjadi, maka itu pun haram.
“Jika sebelum ini saudara (Zul) ada menyebut tentang orang menunggang agama, jadi tunggangan apakah yang saudara tengah buat sekarang?” soalnya.
Kecewa dan marah dengan kontroversi itu, PU Syed turut menyeru agar stesen televisyen tidak menayangkan drama yang diibaratkan sebagai sampah dan mendedahkan sesuatu yang tidak baik kepada masyarakat.