fbpx

Bergaya dengan rona merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MERAH sesuai digayakan oleh wanita yang berkeyakinan dengan potensi dan kredibiliti diri.

MUSIM berganti musim, rona merah mewah menyemarakkan landskap fesyen antarabangsa dan tempatan. Pereka bereksperimentasi dengan segala rona merah seperti merah ungu, merah lembayung, ceri, delima dan mawar.

Kesemuanya menampilkan rekaan pakaian dan aksesori dalam variasi rona merah yang cukup hebat, dramatik, anggun, romantik, feminin serta penuh keterampilan.

Namun begitu, perlu diingat, merah adalah warna yang cukup terang dan kontras dan dapat membangkitkan pelbagai emosi jika dibandingkan dengan warna lain (maksudnya ia bakal mencuri perhatian ramai).

Oleh itu, jika anda tidak cukup yakin dan selesa dengan rona merah, mungkin anda perlu elakkan trend itu pada waktu ini. Cuba dahulu sedikit demi sedikit warna tersebut dalam penampilan sehingga anda rasa cukup selesa untuk menggayakannya secara keseluruhan.

Pastinya, eksplorasi dan eksperimentasi perlu dilakukan untuk mendapatkan hasil yang paling sempurna bagi setiap individu.

Pada kali ini, penulis ingin kongsikan penggayan rona merah seperti berikut:

1. Tiba masanya untuk cuba menggayakan rona merah

Sudah sampai masanya anda menyimpan gaun hitam dan menggantikannya dengan gaun merah sebagai kunci utama penampilan untuk musim ini. Pilihan pakaian dan aksesori yang juga menarik dan perlu dicuba dalam rona merah seperti blazer potongan klasik, kot, seluar, baju panas turtleneck, skirt kembang, kasut tumit tinggi dan but.

Padankan pakaian rona merah anda dengan rona terang atau gelap yang lain untuk gaya berani dan feminin atau padankan baju panas (sweater) rona merah cerah dengan seluar kegemaran seperti jeans kelabu-biru anda untuk gaya santai chic.

2. Gaya maskulin

Bagi yang gemarkan elemen gaya maskulin, dapatkan kemeja kotak-kotak rona merah dan padankan ia dengan jean biru serta but atau pumps untuk suntikan feminin.

Anda juga boleh cuba padanan kot atau blazer merah dengan kemeja-T putih dan skinny jeans serta kasut pumps sebagai pelengkap gaya.

Kasut but dalam rona merah cukup stylish dipadankan dengan jeans biru dan baju panas high-neck dalam rona krim.


WARNA merah mencetus keceriaan dalam diri.

3. Kelihatan lebih ceria dan segar

Bagi gaya parti atau majlis tertentu, gayakan gaun parti atau skirt merah dalam fabrik tulle ala Dior untuk lebih anggun dan feminin. Rona merah yang sesuai juga boleh menyeri dan menyerlahkan lagi wajah dan tona kulit.

Cuba gayakan reka corak atau cetak dalam rona merah, ia cara mudah untuk kelihatan lebih ceria dan segar dalam penampilan.

4. Aksesori ringkas

Untuk gaya jalanan yang hip, dapatkan hoodies saiz besar dalam rona merah. Gaya ini kontemporari dan hebat dengan konsep hyper haute – casual.

Tidak perlu aksesori yang berlebihan dengan gaya ini, cukuplah digandingkan bersama aksesori ringkas dan paling minimum supaya rona merah yang menjadi fokus penampilan.

5. Interpretasi wanita berani

Bagi memberi impak pada penampilan, variasi rona merah menjadi pilihan dalam pakaian, aksesori dan alat solek.

Rona merah juga lebih hebat apabila digandingkan dengan hitam, jingga, merah muda terang atau perang. Rona merah adalah warna untuk wanita yang yakin dengan potensi dan kredibiliti diri sendiri.

Ia adalah interpretasi berani wanita kontemporari yang mahu cemerlang dalam segala lapangan yang diceburi.

FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI