fbpx

Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah atas dakwaan memperdaya Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp melibatkan pelaburan berjumlah RM9.46 juta pada 2019 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. - RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd. (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah atas dakwaan memperdaya Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp melibatkan pelaburan berjumlah RM9.46 juta pada 2019.

Kamaruzzaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob. Tertuduh yang berusia 58 tahun memohon kes tersebut dibicarakan.

Kamaruzzaman didakwa memperdaya Ahli Lembaga Pengarah JCorp untuk melabur sebanyak AS$1 juta(RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited dan AS$1.25 juta (RM5.27 juta) dalam World Logistic Council Americas LLC.

Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah AS$5 juta (RM21.07 juta) di Bilik Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar di sini pada 8 Julai 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah membenarkan Kamaruzzaman diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.

Peguam K. Ragunath memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman akan menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.

Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum bersara pada 12 Disember 2019.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI