MADRID – Barcelona sudah kembali!
Itulah luahan Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez selepas menyaksikan anak-anak buahnya membelasah seteru tradisi, Real Madrid 4-0 dalam pertemuan El Clasico di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Menariknya, empat gol hasil dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan satu daripada Ronald Araujo serta Ferran Torres itu adalah kemenangan pertama The Catalans dalam tempoh tiga tahun ke atas Real.
Kali terakhir Barcelona berjaya menewaskan Los Blancos adalah sewaktu separuh akhir Piala Raja Sepanyol dengan keputusan 3-0 pada 27 Februari 2019.
Ia juga menyaksikan Xavi muncul pengendali ketiga Barcelona berjaya mencatat kemenangan El Clasico dengan empat gol tanpa balas dalam sejarah La Liga selepas Ferdinand Daucik (1951) dan Helenio Herrera pada 1959.
“Kami tidak menjangka mampu beraksi begitu hebat di stadium mereka. Saya amat berpuas hati kerana ini adalah
corak persembahan sempurna yang kami mahu terapkan di Barcelona.
“Adakah Barcelona sudah kembali? Saya meninggalkan persoalan ini kepada anda tetapi kami sekarang tidak lagi menoleh ke belakang dan akan terus mengejar Real dalam baki perlawanan selepas ini.
“Kemenangan ini untuk para penyokong Barcelona yang sentiasa bersabar dengan dugaan serta cabaran ditempuhi sepanjang musim ini. Saya hanyalah jurulatih baharu tetapi kemenangan ini amat bermakna,” kata Xavi. – AGENSI