fbpx

‘Bantu cari pendaki sebab kenalan, bukan ganjaran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PONCHO menyertai operasi mencari Lau Sam yang hilang di puncak Jelapang, Ipoh pada Ahad lalu. – IHSAN MOSARS

IPOH – Malim gunung yang terlibat dalam operasi mencari Lau Sam, 84, di puncak Jelapang di sini kelmarin menjelaskan dia berbuat demikian kerana mengenali mangsa, bukannya disebabkan ganjaran RM10,000.

Perkara itu dimaklumkan malim gunung dikenali sebagai Poncho, 42, kepada Pre­siden Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (Mosars), Muzafar Mohamad.

Menurut Muzafar, Poncho dan rakannya dikenali sebagai Faizal, 32, menemui pendaki warga emas itu dalam keadaan tertiarap di dalam sungai pada pukul 2.14 petang kelmarin.

“Poncho melihat gambar Lau Sam ketika kami dalam perjalanan ke Ipoh selepas saya mengambilnya setelah dia selesai membawa pendaki merentas Banjaran Titiwangsa.

“Tanpa kenal erti penat, Poncho terus bersetuju untuk mencari Lau Sam dan dia be­ritahu pernah bawa warga emas itu mendaki sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Mereka berdua memulakan operasi mencari pada pukul 12 tengah malam, Ahad lalu sebelum keluar empat jam kemudian untuk membuat penilaian semula sebelum mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dikesan.

Muzafar berkata, Poncho dan Faizal memang tidak tahu pun tentang ganjaran itu.

“Memang anak mangsa ada beritahu tentang ganjaran jika jumpa bapanya, tapi saya nasihatkan dia supaya jangan heboh nanti dia kena scam (tipu).

“Bila saya beritahu Poncho tentang hal itu (ganjaran), dia cakap wang bukan keutamaan. Apa yang penting adalah mencari warga emas itu kerana hilang terlalu lama, malah Poncho sendiri mengenali mangsa,” katanya.

Muzafar memberitahu, kedudukan mangsa dijumpai adalah satu kilometer daripada kedudukan terakhir yang dikesan pada telefon bimbitnya.

“Malim terpaksa menuruni tebing curam dan belukar tebal untuk sampai ke lokasi mangsa berada.

“Hanya malim yang mahir selok belok hutan sahaja yang mampu untuk mencari denai-denai yang sesuai menuju ke lokasi sambil mengelak bahaya tebing tinggi dan batuan longgar yang boleh mencederakan,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua malim masuk semula ke dalam hutan pada pukul 7 pagi, sebelum berjaya menjumpai mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak berbaju di dalam sungai.

“Penemuan tersebut dimaklumkan segera kepada bomba yang kemudian menggerakkan operasi membawa turun mangsa yang selesai pada pukul 3 pagi,” katanya yang enggan mengulas berapa lama mangsa telah meninggal dunia.

Sementara itu, anak Lau Sam, Lau Kok Gian, 48, berkata, keluarganya akan menunaikan janji memberi RM10,000 kepada malim gunung yang me­nemui mayat bapanya.

“Saya telah bertemu mereka di lokasi. Saya segera ke lokasi penemuan dan lihat bapa terbaring dalam sungai. Sedih tetapi tidak boleh berbuat apa-apa sehingga pasukan penyelamat sampai,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pendaki hilang sejak 11 Mac lalu ditemui dalam sungai. Usaha membawa turun mangsa mengambil masa ekoran faktor geografi hutan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI