fbpx

Asheed Def Gab C singkap kritik sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHEED DEF GAB C

Selepas muncul dengan single Milik Kita yang didedikasikan kepada petugas barisan hadapan pada pertengahan tahun lalu, terbaharu, Asheed Def Gab C, tampil dengan single Baling.

Menurut Asheed, 49, single Baling kembali menonjolkan identitinya ketika bersama kumpulan Def Gab C.

“Alhamdulillah, sekali lagi Rief SW bergandingan dengan Talib RSF sebagai pencipta dan penulis lirik lagu ini.

“Ini adalah kolaborasi kedua saya dengan RSE selepas Milik Kita yang mendapat sambutan positif daripada peminat.

“Saya gembira dapat bekerja dengan Rief SW dan Talib serta barisan pemuzik profesional yang terbabit dalam lagu ini iaitu Mus Satira (gitar), Yan Lefthanded (bass), Bakri Gerhana Ska (drum) dan Aman Keys Farasu (keyboard dan perkusi),” katanya.

Asheed atau nama sebenarnya Mohd. Ashid Ahmad berkata, Baling sebenarnya membawa makna besar. Dia lahir dan membesar di daerah yang terletak di Kedah itu.

“Bagaimanapun dalam konteks lagu ini, Baling diilhamkan dari senario industri muzik tanah air secara sinikal.

“Liriknya berkaitan kritik sosial terhadap sikap manusia. Seperti kata pepatah Melayu, satu jari kita menuding ke arah orang, empat, lima orang akan menuding ke arah kita semula.

“Inilah sikap manusia. Sudah terkena baru hendak tersedar dan berubah,” ujarnya.

Tambah Asheed, selepas mendengar demo lagu Baling, dia tertarik kerana iramanya seiras lagu-lagu rock Santana.

“Genre ini sudah jarang dibawa oleh mana-mana penyanyi pada dekad ini. Respons peminat selepas seminggu dimuatkan di YouTube RSE sangat baik.

“Mereka kata lagu ini agak berlainan dan ada karakter sendiri. Orang dengar sekali pun sudah tahu lagu nyanyian saya. Sebenarnya saya bukanlah pengikut Santana sangat.

“Kami bukan minta orang bandingkan dengan Santana. Cuma apabila dapat lagu ini, saya sudah tahu bagaimana mahu mencorakkannya.

“Jadinya muzik Santana hanya sebagai penambahan untuk sedapkan lagu ini. Peminat Def Gab C menantikan lagu ini dan minta saya kembali bersatu dengan anggota lain,” katanya.

Rakaman lagu yang diterbitkan oleh Rock Stage Entertainment (RSE) mengambil masa selama empat bulan serta dibuat di tiga studio berlainan.

Proses adunan akhir dibuat di Bakri Music Workshop (BMW) Studio di Sri Rampai Kuala Lumpur.

Selain itu, muzik video juga dibuat di lokasi berlainan kerana keterbatasan pergerakan semasa era pandemik ini.

“Studio-studio yang terbabit dalam penghasilan lagu dari segi rakaman muzik dan muzik video ialah Stage War Studio (Subang), Heaven Studio (Pandan Indah) dan BMW Studio (Sri Rampai).

“Saya dan RSE berminat menyokong karya-karya baharu sambil mengetengahkan bakat-bakat komposer baru di samping pembabitan orang lama dalam industri,” katanya.

Selain YouTube RSE, lagu Baling kini berada di semua digital platform seperti Joox, Spotify, Itunes, Deezer, KKbox dan juga Apple Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI