PETALING JAYA- Seorang peniaga pakaian terpakai mendapat durian runtuh selepas berjaya menjual sehelai baju bundle imej Mickey Mouse pada harga RM890 sehelai.
Meskipun harga sehelai pakaian itu disifatkan terlalu mahal bagi segelintir pihak, namun bagi peminat baju tersebut ia mempunyai nilai tersendiri.
Menerusi perkongsian di aplikasi Tiktok Nikpokden, dia berjaya menjual baju T itu kepada seorang individu pada harga RM890 sehelai.
“Sold out, RM890, Alhamdulillah,” tulisnya ringkas pada hantaran video tersebut.
Video itu ditonton lebih 312,000 kali dan mendapat lebih 985 reaksi daripada pengguna media sosial.
“Kalau aku tidak beli, tapi terserah hak masing-masing,” kata Red Dot.
“Tidak perlu pertikai harga mahal murah, kalau sudah minat awak letak harga RM1 juta pun orang akan beli, semoga murah rezeki semua,” ujar User828.
“Mungkin ada nilai baju ini yang hanya diketahui oleh pembeli itu sahaja,” jelas Legendegoes.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! Online di akaun milik lelaki terbabit mendapati dia turut menjual beberapa baju terpakai lain pada harga serendah RM350 hingga RM5,800 sehelai. -KOSMO! ONLINE.