PETALING JAYA- Pengorbanan seorang kakak yang sanggup berkorban masa bagi menjaga ibunya yang sakit berbalas apabila wanita itu menerima tajaan mengerjakan umrah.
Lebih mengharukan, kejutan tajaan itu dibuat adik bongsunya pada satu majlis tanpa diketahui adik-beradik lain dan ibu mereka.
Menerusi satu video dikongsikan Zaiton Mohamed di aplikasi TikTok, wanita tersebut dilihat terkejut dan sebak apabila melihat namanya dipaparkan pada kain rentang ketika berlangsungnya acara keluarga.
Selepas mengetahui bakal ke Tanah Suci, wanita berkenaan dilihat melur ke arah ibunya dan memeluk susuk tubuh itu sambil menangis gembira.
“Adik bongsu taja kakak yang jaga ibu ke umrah, semua orang tidak tahu termasuk ibu sendiri. Terharu, rezeki membahagiakan ibu,” tulisnya ringkas.
Video itu ditonton lebih 74,000 kali dan mendapat 353 komen.
Sementara itu, netizen turut berkongsikan rasa sebak selain mendoakan agar keluarga tersebut dikurniakan rasa bahagia dan gembira.
“Kakak dia mesti sebak, tidak sangka dia dalam ingatan adik, berkat jaga ibu,” kata Nrxydx88.
“Rezeki membahagiakan ibu, tahniah buat kakak dan adik bongsu yang membahagiakan seorang kakak,” ujar Mimi Shamila.
“Ya Allah sedihnya tengok, semoga semuanya dimurahkan rezeki,” kata Nor Syahirah. -KOSMO! ONLINE.