KLUANG – Seorang wanita memohon bantuan orang ramai bagi menjejaki 10 adik beradiknya yang terpisah selepas diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing secara berasingan ketika masih kecil.
Nur Farah Amira Ibrahim, 21, berkata, dia langsung tidak mengetahui sebarang butir peribadi adik beradiknya itu kecuali salah seorang abangnya yang dikenali sebagai Hafiz, 28. Adik beradiknya berstatus warganegara.
Katanya, abang kandungnya itu hilang tanpa berita sejak lima tahun lalu dan lebih malang apabila usaha mencarinya menemui jalan buntu.
“Arwah ibu kandung, Pakilah Abdullah, 50, menyerahkan saya kepada keluarga angkat, Nor Azimah Sajat, 54, ketika saya berusia tiga bulan. Ibu sudah meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun.
“Kami diserahkan kepada keluarga angkat atas sebab yang tak dapat dielakkan.
“Kami semua adalah warganegara Malaysia dan dahulu abang Hafiz pernah tinggal di Jalan Manggis Masai, Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Menurut Nur Farah Amira, dia tidak pernah mengenali bapa kandung mereka, Ibrahim Yusuf dan tidak tahu sama ada lelaki itu masih hidup atau tidak.
Tambahnya, bapanya berusia 64 tahun ketika dia berumur tiga bulan dan mereka menetap di Flat Bukit Chagar, sebelum berpindah ke Flat Seri Stulang di sini.
Katanya, sebelum ini keluarga angkatnya pernah menetap di Taman Desa Harmoni dan berpindah ke Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada tahun lalu.
Sehubungan itu, dia meminta mana-mana pihak yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi terkini abangnya supaya menghubunginya di talian 011-1114 5383 atau 019-780 0272.