PETALING JAYA – Zurich Malaysia mengambil inisiatif menyumbangkan sebanyak RM432,493 bagi membina projek daya tahan banjir yang akan memanfaatkan seramai 150 keluarga di Hulu Langat, Selangor.
Sumbangan tersebut disalurkan menerusi MERCY Malaysia dimana badan terbabit berperanan menguruskan bentuk bantuan, proses pemulihan serta kesiapsiagaan di lapangan.
Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, dana tersebut digunakan untuk menggerakkan tiga aspek utama iaitu pemulihan dan penempatan semula, pencegahan mitigasi selain penyediaan serta kesiapsiagaan.
“Ini termasuklah satu kajian geofizik untuk mengetahui kebolehjayaan dan mengenalpasti lokasi terbaik untuk memasang perigi tiub, membaiki tempat perlindungan dan membantu penduduk meneruskan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, perigi tiub dengan kedalaman 150 meter dan tangki air berisi padu 4,000 gelen yang akan dipasang juga dilihat penting dalam mengurangkan masalah kesihatan akibat air tercemar.
“Tiga buah rumah yang mengalami kerosakan banjir tetapi dianggap selamat didiami turut dibaiki menggunakan wang sumbangan Zurich Malaysia. Kerja-kerja pembaikan termasuklah pendawaian elektrik turut dilaksanakan.
“Selain itu, kami juga menyalurkan wang untuk membantu peniaga kecil menggantikan semula aset yang rosak seterusnya dapat menyara hidup dan membekalkan barangan dan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti,” ujarnya.
Pada masa sama, Cho menjelaskan, rakyat Malaysia telah menunjukkan semangat tolong menolong dan mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menghadapi kesusahan ketika banjir.
“Ianya memberikan kami dorongan dan menjadi sumber inspirasi. Amat penting untuk usaha-usaha pencegahan dan mitigasi terus dilakukan walaupun banjir tidak lagi menjadi tajuk utama berita.
“Kami berbesar hati bekerjasama dengan MERCY Malaysia yang berkongsi kebimbangan yang sama dalam membantu komuniti yang terkesan untuk pulih dan bersedia menghadapi banjir yang mungkin berlaku di masa hadapan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE